AHLAN WASAHLAN

''Mintalah kamu sekalian kepadaKu,pasti Aku mengabulkan untukmu.''

Thursday, April 22, 2010

Abah.....Satu Anugerah




Abah, cukup indah panggilan ini pada ayahanda yang teramat aku sayang. Ini juga adalah cinta, cintakan ibu dan ayah. Tanggal 10 April lalu merupakan hari lahir abah yang ke-49, semoga abah panjang umur dan dimurahkan rezeki.... ALLAH kurniakan anugerah yang tidak terhingga dan tidak ternilai dengan wang jutaan ringgit. Hargailah pengorbanan ayah kita semua. Abah yang kukenali amat sayang pada anak-anaknya. Bila seorang anaknya sakit, abah sanggup bersusah payah ke klinik atau hospital mencari ubat walaupun abah kurang arif dengan nama-nama ubat, tapi abah usahakan untuk mengenalinya. Tika anak-anak abah memerlukan wang untuk belajar di menara gading (Alhamdulillah, 4 orang dah masuk U), abah berpenat lelah mencari sejumlah wang yang cukup untuk anak-anak tersayang. Biarpun abah tak berpelajaran tinggi, tapi abah amat cintakan ilmu dan sentiasa menerapkan nilai-nilai agama dalam diri anak-anak.

Kini, abah tetap seperti dulu menggunakan kudrat yang ada untuk terus bekerja biarpun abah lihat orang lain diulit kemewahan. Abah suka merasa susah dan menunjukkan wajah yang ceria walaupun sebenarnya abah penat. Walaupun seringkali sang mentari garang menggigit kulit-kulit abah, namun abah tetap menggalas tanggungjawab dan tetap redha dengan apa yang ALLAH kurniakan.


Duit gaji yang abah dapat cukup untuk menanggung kami, biarpun duit yang abah bagi untuk kami boleh saja kami gunakan pada sesuatu yang tidak berfaedah jika anak itu bukan seorang yang mengenang jasa seorang ayah. Tapi syukurlah kami anak-anak abah bukan macam tu perangainya. Ya, benar ku tak pernah menghitung keringat abah yang keluar setelah abah bekerja seharian. Aku juga tak pernah membilang peluh yang menitik dek kerana panas membahang tika mencari rezeki....Tapi yang ku hitung adalah nilai wang yang diberi. MasyaAllah. Ketegasan abah mendidik anak-anak amatlah dihargai kerana kasih abah sukar dicari ganti.

Terima kasih ALLAH atas anugerah ini, terima kasih di atas segala pengorbanan yang abah terjemahkan. Anak-anak abah akan sentiasa membantu abah dalam susah atau senang. Doakan kejayaan kami di perkampungan menara gading ini.......

Menerobos Kalimah Cinta





Cinta???siapa yang tidak pernah mendengar perkataan keramat ini??Sudah tentu semua dah dengar hatta anak kecil sekalipun.Benar,cinta adalah cahaya sanubari yang fitrah bagi diri insani. Manusia menjadi kuat dan lemah hanya kerana cinta.

Tapi kita hanya mahu mencari cinta yang cukup agung,bukan cinta yang membuatkan kita tersadung dipertengahan jalan,bukan juga cinta yang membuatkan kita tidak kenal kawan kita bahkan yang dicari adalah cinta yang membawa kita mengenal Pencipta cinta itu, Maha Suci Allah... Ya, cinta sejati hanyalah milik ALLAH kerana cinta yang diciptakan itu cukup indah dan mengasyikkan. Lagi indah cinta di hati nurani bila ianya disuluh dengan keimanan yang kental kepada ALLAH. Cinta amat indah kerana yang menciptakan adalah Pencipta yang cintakan keindahan. Jadikan cinta kepada ALLAH ibarat magnet yang berkeras untuk berada disamping dengan besi selama-lamanya.

Mungkin kerana cinta sesama manusia, kita mengalirkan air mata yang menjadi saksi atas segala yang berlaku. Kita tak mampu melawan takdir yang tersurat untuk kita. ALLAH menguji kita dengan mengenali orang yang salah mungkin untuk memberi kita seseorang yang lebih baik daripadanya supaya kita lebih dekat lagi dengan ALLAH. Atau mungkin ALLAH menghadirkan seseorang yang cukup baik untuk kita supaya mensyukuri nikmatNya. Kehidupan mesti diteruskan sekudrat yang kita ada. Apa salahnya pula kiranya diri kita yang hina ini mengizinkan pula air mata ini mengalir kerana kesilapan kita di hadapan Yang Maha Agung. DIA cukup mengetahui apa yang seharusnya kita dapat dan apa yang perlu kita jauhkan.


Kalimah cinta perlu kita ungkap seagung-agungnya hanya kepada ALLAH sahaja yang kekal. Terlalu cintakan manusia,dia akan pergi begitu juga bunga ia akan layu. Cinta bukan matlamat hidup di dunia ini, bahkan ia sebagai satu alat yang membawa kita mengenal Penciptanya. Cinta adalah anugerah jadi cintailah yang memberi anugerah dan jangan engkau terlalu mencintai anugerah yang diberikanNya dan carilah cinta yang membuatkan engkau mencintai Pencipta cinta itu.

Monday, April 12, 2010

Salam Imtihan.....



Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana masih mengizinkan saya untuk mencoretkan secebis kata-kata dalam blog yang serba kekurangan ini.

Hari dan masa berlalu dengan begitu pantas tanpa kita sedari atau sebaliknya. Sesungguhnya masa yang diperuntukkan oleh Allah inilah perlu kita gunakan sebaiknya. Kalau dalam proses pengajaran dan pembelajaran bolehlah kita katakan masa yang diperuntukkan tidak cukup untuk mempelajari semua perkara, tapi bagi Allah masa diberi cukup untuk semua hambaNya. Terpulang pada kita memanfaatkan masa tersebut. Renung maksud hadis tersebut:

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: (Hadis ke-12 -Hadits Arba'in An-Nawawi)
"Di antara (tanda) kebaikan keislaman seseorang adalah ia meninggalkan perkara yang tak berguna baginya." (Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi dan yang lainnya)

Kesempatan ini, saya nak ucapkan salam imtihan buat semua sahabat yang mengenali diri ini kerana sekarang ramai dalam kalangan kita di universiti bertungkus lumus mencipta kejayaan bagi mencapai matlamat masing-masing. Minggu 'study week' digunakan sebaiknya dan berusaha mendekatkan diri pada Allah SWT. Saya doakan untuk diri saya dan rakan-rakan seperjuangan semua moga kejayaan di dunia dan akhirat dalam genggaman kita semua. Ingatlah ibu bapa juga menanti kejayaan anak-anaknya semua......



Monday, April 5, 2010

Agama Adalah Nasihat



Hadis ke-7 Imam An-Nawawi
:
Abi Ruqayyah Tamim bin Aus Ad-Dary ra. menerangkan bahawa Nabi SAW bersabda:
"Agama itu nasihat." Kami bertanya, "Bagi siapa?" Beliau bersabda, "Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya,para pemimpin kaum Muslimin dan bagi kaum Muslimin umumnya." (Hadis Riwayat Muslim)

Saturday, April 3, 2010

Bimbing Dan Kasihanilah Mereka



Pada 24 Mac 2010, kumpulan saya iaitu kumpulan kecil bagi kursus sains kehidupan semester ini telah mengadakan program di Wisma Harapan, Brickfields KL. Program ini bagi memenuhi subjek ini yang bertemakan "Pendekatan Aktiviti Kelompok Dalam Komuniti" dan diselia seorang tutor iaitu Cik Dharatun Nissa.

Kami terdiri daripa 5 orang tiba di sana tepat jam 2 petang dengan menaiki komuter dari UKM. Setiba di sana,kami disambut dengan baik oleh pengetua di Wisma Harapan. Dalam masa 20 minit, kami diberi taklimat ringkas mengenai kanak-kanak kurang upaya ini. Mereka terdiri daripada sindrom down, autisme, hyperaktif, slow learner dan masalah pembelajaran yang lain.

Program yang kami jalankan adalah musical chair, segmen "dari hati ke hati", mari melukis dan motivasi diri (menonton video kisah "si pot dan si cak"). Kesabaran yang cukup tinggi diperlukan oleh kami kerana tingkah laku mereka tidak dapat dijangka. Terkadang gelagat mereka membuatkan kami tersenyum sendirian.Mereka cukup memberi kerjasama walaupun pergerakan mereka kadang-kadang sukar dikawal.Kebanyakan mereka mengalami gangguan komunikasi.Alhamdulillah, salah seorang kumpulan kami dari Pendidikan Khas yang cukup bersedia dengan pelbagai situasi. Dia yang banyak membantu.

Menurut Shertzer dan Stone, bimbingan bermaksud proses untuk menolong individu memahami dirinya serta dunianya . Ia dirangkumkan dalam perkhidmatan dan aktiviti program yang bertujuan untuk membantu murid melaksanakan rancangan bagi mencapai satu penyesuaian yang memuaskan dalam hidup mereka.

Program ini cukup berharga bagi kami kerana dapat mendedahkan diri kami kepada semangat kesukarelaan dalam memenuhi keperluan komuniti seperti ini. Mereka perlu diberi peluang samarata kerana mereka ada potensi tersembunyi yang boleh dikembangkan ke arah pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.

Akhir kalam, sayangilah mereka dengan menyemai benih-benih kasih sayang seperti kanak-kanak normal yang lain. Mereka lahir bukan untuk disisihkan tetapi WAJIB diberi perhatian. Dan kami sebagai bakal guru, mesti menerima mereka tanpa apa-apa syarat sekalipun. Jangan membenci dan menyisihkan mereka kerana mereka juga insan yang biasa.
Firman Allah dalam surah al-Hujurat (49:10) yang bermaksud:
"Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat"

Terima kasih juga buat ahli kumpulan seperjuangan yang berusaha menyiapkan laporan,brosur dan bookmark: Fiza, Lee Min Goh, Farihah dan Ashairi.