AHLAN WASAHLAN

''Mintalah kamu sekalian kepadaKu,pasti Aku mengabulkan untukmu.''

Saturday, April 3, 2010

Bimbing Dan Kasihanilah Mereka



Pada 24 Mac 2010, kumpulan saya iaitu kumpulan kecil bagi kursus sains kehidupan semester ini telah mengadakan program di Wisma Harapan, Brickfields KL. Program ini bagi memenuhi subjek ini yang bertemakan "Pendekatan Aktiviti Kelompok Dalam Komuniti" dan diselia seorang tutor iaitu Cik Dharatun Nissa.

Kami terdiri daripa 5 orang tiba di sana tepat jam 2 petang dengan menaiki komuter dari UKM. Setiba di sana,kami disambut dengan baik oleh pengetua di Wisma Harapan. Dalam masa 20 minit, kami diberi taklimat ringkas mengenai kanak-kanak kurang upaya ini. Mereka terdiri daripada sindrom down, autisme, hyperaktif, slow learner dan masalah pembelajaran yang lain.

Program yang kami jalankan adalah musical chair, segmen "dari hati ke hati", mari melukis dan motivasi diri (menonton video kisah "si pot dan si cak"). Kesabaran yang cukup tinggi diperlukan oleh kami kerana tingkah laku mereka tidak dapat dijangka. Terkadang gelagat mereka membuatkan kami tersenyum sendirian.Mereka cukup memberi kerjasama walaupun pergerakan mereka kadang-kadang sukar dikawal.Kebanyakan mereka mengalami gangguan komunikasi.Alhamdulillah, salah seorang kumpulan kami dari Pendidikan Khas yang cukup bersedia dengan pelbagai situasi. Dia yang banyak membantu.

Menurut Shertzer dan Stone, bimbingan bermaksud proses untuk menolong individu memahami dirinya serta dunianya . Ia dirangkumkan dalam perkhidmatan dan aktiviti program yang bertujuan untuk membantu murid melaksanakan rancangan bagi mencapai satu penyesuaian yang memuaskan dalam hidup mereka.

Program ini cukup berharga bagi kami kerana dapat mendedahkan diri kami kepada semangat kesukarelaan dalam memenuhi keperluan komuniti seperti ini. Mereka perlu diberi peluang samarata kerana mereka ada potensi tersembunyi yang boleh dikembangkan ke arah pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.

Akhir kalam, sayangilah mereka dengan menyemai benih-benih kasih sayang seperti kanak-kanak normal yang lain. Mereka lahir bukan untuk disisihkan tetapi WAJIB diberi perhatian. Dan kami sebagai bakal guru, mesti menerima mereka tanpa apa-apa syarat sekalipun. Jangan membenci dan menyisihkan mereka kerana mereka juga insan yang biasa.
Firman Allah dalam surah al-Hujurat (49:10) yang bermaksud:
"Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat"

Terima kasih juga buat ahli kumpulan seperjuangan yang berusaha menyiapkan laporan,brosur dan bookmark: Fiza, Lee Min Goh, Farihah dan Ashairi.



No comments:

Post a Comment